02/02/2012 - Ust. Fadli Ghani (Sirah Nabawiyah)        03/02/2012 - Ust. Hafizi Husin (Risalah Tauhid)         11/02/2012 - Ust. Irwan Shah (Tafsir)        11/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         12/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         13/02/2012 - Ust. Mahidin (Tasawwuf & Matla'Al Badrain)         14/02/2012 - Hazri Hashim - (Mustika Hadis)         15/02/2012 - Ust. Ayob (Tafsir)        16/02/2012 - Ust. Zainudin Hashim (Umum)         17/02/2012 - Ust. Zahidi (Penawar Bagi Hati)         18/02/2012 - Ust. Amran (Muslimah)         19/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         19/02/2012 - FORUM MAULIDURRASUL         20/02/2012 - Ust. Hakimmuddin (Tanda-tanda Kiamat)         27/02/2012 - Ust. Mahidin (Tasawwuf & Matla'Al Badrain)

Saturday 18 August 2012

Selamat Hari Raya 1433M

Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita. Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara berterusan sepanjang tahun; biarpun sedikit sebagaimana di dalam hadis Aisyah (ra) yang berkata yang maksudnya  "Ditanya  Nabi  (saw)tentang  amalan-amalan  yang  disukai  oleh  Allah. Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Hadis riwayat Bukhari)
SELAMAT HARI RAYA .. Maaf Zahir Batin

Tuesday 14 August 2012

Renungan Ramadhan 26

Di dalam ayat Surat Al-Baqarah ayat 183 yang sering dibaca pada awal Ramadhan, Allah mewajibkan puasa dengan berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa… Perkataan “kutiba ‘alaikum..” yang digunakan mempunyai erti ‘diwajibkan’..

Gaya bahasa kutiba”ini telah digunakan oleh Allah dalam ayat-ayat lain. Misalnya, dalam surah al-Baqarah ayat 178, Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas…(kutiba ‘alaikumulqisas…)

Dalam surah Al-baqarah: 180 pula Allah menyebutkan tentang kewajipan berwasiat:
“Diwajibkan ke atas kamu, apabila sesorang kamu didatangi maut sedang kamu mempunyai harta agar ia berwasiat …(kutiba ‘alaikum…)

Dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah pula, disebutkan:
“Diwajibkan ke atas kamu berperang… (kutiba ‘alaikumul qital …)

Dalam bentuknya yang berlainan sedikit, Allah menyebutkan kewajipan sembahyang dengan firman-Nya dalam Surah Annisa’ayat 103:
“Sesungguhnya solat itu telah diwajibkan ke atas orang mukmimin pada waktu-waktunya yang tertentu (Kitaaban Mauquta) ”.

Ayat-ayat mengenai hukum hudud merompak’ dan mencuri’ disebutkan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 33-34 dan 38-39. Dalam ayat-ayat yang sebelum dan selepas ayat-ayat ini, Allah menerangkan tentang kewajipan hukum hukum ke atas Bani Israel juga dengan perkataan “katabna” (telah kami wajibkan)

Bentuk ayat yang dengannya Allah mewajibkan puasa adalah sama dengan bentuk ayat Allah di mana Allah menyebutkan beberapa perkara lain; qisas, wasiat, perang. Dalam bentuk yang hampir sama, solat disebutkan sebagai wajib pada waktu yang tertentu. Dalam bentuk yang lain, perkataan “katabna” menjadi sebahagian dari ayat-ayat Allah yang berkaitan dengan hukum-hukum hudud.

Hukum-hukum Islam bersifat sepadu. Kita wajib meyakini kesepaduan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah; tidak mengambil sebahagian atau menolak sebahagian. Mengambil atau menerima atau mengamalkan sebahagian dari ayat-ayat Allah dan menolak sebahagian lain adalah sama dengan beriman dengan sebahagian dan menolak sebahagian hukum Allah. Allah memberi amaran seperti tertera dalam firman-Nya di dalam ayat 85 Surah Al-Baqarah:
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian dari Kitab dan kufur terhadap bahagian lain? Tiadalah balasan bagi sesiapa di antara kamu yang melakukan demikian kecuali kehinaan di dalam kehidupan dunia manakala pada hari akhirat mereka di kembalikan kepada azab yang keras”

Ayat ini diturunkan mengenai orang-orang Yahudi di Madinah yang mengamalkan sebahagian suruhan Allah manakala mengabaikan arahan yang lain. Allah menganggap mereka sebagai beriman dengan sebahagian kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain. Bagi mereka yang sedemikian, Allah memberi amaran hukuman di dunia dan akhirat.

Oleh itu, kita perlu bersedia menerima dan mengamalkan bukan sekadar kewajipan puasa dan solat tetapi juga semua hukum-hakam yang terkandung di dalam di dalam syariat yang ter’maktub’ di alam al-Quran dan Sunnah Nabi (saw).

Semoga Allah (swt) membantu kita memahami dan mengamalkan agama-Nya.

Monday 13 August 2012

Renungan Ramadhan 25

Dalam Renungan Ramadhan 24, kita telah melihat bahaya kita menyebarkan..

Begitu juga dalam kes menggalakkan amal. Kadangkala, demi menggalakkan manusia beramal, risalah-risalah yang menerangkan fadilat amal disebarkan tanpa sebarang sokongan bukti. Sebagai contoh, banyak buku atau poster-poster yang dijual di banyak kedai dan ditampal di sebahagian surau atau masjid mengenai fadilat solat, amalan atau zikir tertentu contohnya juga terlalu banyak menjanjikan ganjaran tanpa menyebutkan sumber hadis atau ayat yang menjadi asas kepada janji tersebut. Benar ulama’ membenarkan penggunaan hadis dhaif dalam menggalakkan amal tetapi seringkali apa yang dikatakan ‘hadis’ tersebut tidak pun mencapai taraf dhaif; bahkan ada yang palsu dan tidak diketahui asal usulnya. Banyak dari apa yang dikatakan ‘hadis’ itu tidak dapat dipastikan siapa yang mengatakan demikian atau Imam Hadis mana yang meriwayatkannya?

Sunday 12 August 2012

Renungan Ramadhan 24

Spektrum sedekah seperti yang dinyatakan di dalam Renungan Ramadhan 23 amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau  membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya.

Termasuk di dalam definisi sedekah tersebut di dalam hadis yang diutarakan di dalam Renungan Ramadhan 23 ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut." (surah al-Hujurat:9)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam  menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadhan al- Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu sebelum kita memastikan kesahihannya.

Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli  politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan. Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer. Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.

Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Satu ketika dulu di internet pernah juga disebarkan berita mengenai salah seorang pelakon sebuah filem kanak-kanak yang terkenal masuk Islam dan kemudiannya di bunuh. Tetapi alangkah terkejutnya kita apabila kita dimaklumkan bahawa pelakon yang sama baru-baru ini berlakon di dalam filem turutan (sequel), beliau masih hidup dan kelihatannya belum Muslim. Berita ‘tokoh terkenal masuk Islam’ seperti ini telah beberapa kali terjadi dan apabila didapati palsu menjadi bahan momokan di kalangan pendakyah agama lain.

Sempena bulan Ramadhan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadhan ini, marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

Saturday 11 August 2012

Renungan Ramadhan 23

Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadhan ialah bulan Sedekah. Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadhan ada dinyatakan bahawa Nabi (saw)  adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahwa sedekah adalah untuk orang-orang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain. Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”.  Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala.

Perhatikan hadis ini:
Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kami sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka  berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:
Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah. (Hadis riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah teruatma di bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadhan yang mulia ini

Ikutan