02/02/2012 - Ust. Fadli Ghani (Sirah Nabawiyah)        03/02/2012 - Ust. Hafizi Husin (Risalah Tauhid)         11/02/2012 - Ust. Irwan Shah (Tafsir)        11/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         12/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         13/02/2012 - Ust. Mahidin (Tasawwuf & Matla'Al Badrain)         14/02/2012 - Hazri Hashim - (Mustika Hadis)         15/02/2012 - Ust. Ayob (Tafsir)        16/02/2012 - Ust. Zainudin Hashim (Umum)         17/02/2012 - Ust. Zahidi (Penawar Bagi Hati)         18/02/2012 - Ust. Amran (Muslimah)         19/02/2012 - Ust. Hassan (Muslimah)         19/02/2012 - FORUM MAULIDURRASUL         20/02/2012 - Ust. Hakimmuddin (Tanda-tanda Kiamat)         27/02/2012 - Ust. Mahidin (Tasawwuf & Matla'Al Badrain)

Friday, 10 August 2012

Renungan Ramadhan 22

Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadhan. Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia dari api neraka. Peluang untuk bebas dari api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan siksa api neraka yang disebutkan oleh Allah:
“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas dari api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada di bulan Ramadhan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini, Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia kita di mukabumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian dalam bulan mulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya. Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda: Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya (hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu. Mereka juga akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:
Dari Abu Hurairah bahwa Nabi (saw) bersabda: Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu terus menghubunginya setelah dia meninggal. (hadis riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita di bulan Ramadhan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadhan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan didiklah anak-anak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita apabila amalan lain kita telah terputus. Semoga dengan itu, Allah memberi rahmah, keampunan dan seterusnya membeaskan kita dari azab api neraka

Thursday, 9 August 2012

Renungan Ramadhan 21

Perang Badar begitu signifikan bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran “ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata, “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”.(hadis Riwayat Bukhari) 

Rifaa(ra) meriwayatkan: Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat: (Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut". (surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk bekorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr  (ra): "Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadhan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.

Wednesday, 8 August 2012

Renungan Ramadhan 20

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadhan. Seperti kita lihat dalam Siri ke 18 dan 19, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.

Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata- mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan kenderaan tersebut.

Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesombongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah- Mu!”

Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:
Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata:  "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)

Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.

Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan kepada mereka.

Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya.  Sempena mengingati mereka di bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.

Tuesday, 7 August 2012

Renungan Ramadhan 19

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadhan di Gua Hira’ merupakan titik tolak penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “  mempunyai makna yang mendalam.

Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur. “Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah al- Isra’: ayat 106)

Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepada/daripada Allah melalui Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan. Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.

Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada  usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama,

‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamaddunnya yang gemilang.

Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membuat tekad dan azam untuk membaca al-Quran, Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadhan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang diberikan di dalam Renungan Ramadhan 17, semoga  Allah merahmati kita.

Monday, 6 August 2012

Renungan Ramadhan 18

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah di bulan Ramadhan.

Para ahli sejarah menerangkan bahawa pada satu malam di bulan Ramadhan, ketika Nabi (saw) sedang bertahannuth di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung, Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdialan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (care) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa  inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani.

Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw).

Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi.

Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.

Ikutan