Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam
bulan Ramadhan. Seperti kita lihat dalam
Siri ke 18 dan 19, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia.
Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia
kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada
Allah. Baginda berjaya mendapat
sokongan beberapa individu
tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw)
berhijrah ke Yathrib dan menjadi
pemimpin bagi masyarakat
Madinah.
Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha
menghancurkan gerakan dakwah Nabi
(saw). Pelbagai tektik dan cara
digunakan sehingga akhirnya terjadilah
Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi
pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam
sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.
Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama
Nabi mereka; satu-satunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah
Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera
Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata- mata.
Ianya merupakan pertembungan Iman
melawan kekufuran, Islam melawan
jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan
perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan
1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju
besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313 orang tentera
Muslimin hanya mempunyai beberapa
ekor kuda dan kira-kira 70 ekor
unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki
haiwan-haiwan kenderaan tersebut.
Gentingnya
saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya
Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesombongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-
Mu!”
Di dalam Surah
al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera
Thalut mengalahkan tentera
Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa
kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan.
Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:
Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata:
"Berapa banyak terjadi golongan
yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan
izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)
Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada
zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu
berulang di medan pertempuran Badar.
Kumpulan Muslimin memusnahkan
tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh,
70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur
sebagai antara syuhada’ pertama.
Allah
yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima
pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan
kepada mereka.
Marilah kita menghargai
jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin
di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting,
paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui
mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat
berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat
cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka di bulan
Ramadhan yang mulia ini, marilah
kita mencontohi kegigihan dan
kesungguhan serta pengorbanan mereka.
No comments:
Post a Comment