Para Sahabat Nabi yang terlibat
dalam perang Badar mendapat
penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan
Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan
Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata,
“Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang
ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan
berfirman : “Lakukanlah apa yang
kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”.(hadis Riwayat Bukhari)
Rifaa(ra) meriwayatkan:
Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya:
“ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan
kamu? “ Nabi menjawab:
“ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan
Muslimin.” Jibrail
berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (hadis Riwayat
Bukhari)
Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?
Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting.
Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah
dari Allah berupa pertolongan
langsung dari para malaikat: (Ingatlah),
ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut". (surah al-Anfaal:9)
Mereka melayakkan
diri kerana mereka telah memberikan
segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang
lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk
bekorban demi mempertahankan Islam.
Mereka bersedia mati
kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan
sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera
yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita
tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat
dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr
(ra): "Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami
akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan
seperti Banu Israil
yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu
bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami
di sini akan tinggal menunggu. Tetapi,
pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”
Demikian ciri-ciri
khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah
yang begitu tinggi dari Allah.
Sempena bulan Ramadhan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah
kita mencontohi mereka dengan berusaha
untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.
No comments:
Post a Comment