Kita bersyukur kepada
Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadhan.
Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia dari api neraka. Peluang untuk bebas dari api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan siksa api neraka
yang disebutkan oleh Allah:
“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu
neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika
mereka meminta minum,
niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman
yang paling buruk dan tempat
istirahat yang paling jelek.” (surah al-Kahfi: 29)
Tidak semua orang memperolehi
nikmat ini; peluang untuk
bebas dari api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar
orang mati dengan pelbagai sebab. Kita
mendengar beberapa orang rakan,
kaum kerabat, sahabat handai dan
kenalan kita yang dipanggil
menemui Allah setelah
beberapa hari berada di bulan Ramadhan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri
mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.
Katakanlah:
"Sesungguhnya kematian yang kamu
lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,
kemudian kamu akan dikembalikan
kepada (Allah), yang mengetahui
yang ghaib dan yang nyata, lalu
Dia beritakan kepadamu apa yang
telah kamu kerjakan". (surah
al-Jumuah:8)
Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi
kita. Cuma buat masa ini,
Allah masih memberi kita waktu
untuk dipergunakan untuk menghabiskan
sisa-sisa usia kita di mukabumi ini. Allah
masih memilih kita untuk menyambung
nafas kita seharian dalam bulan mulia ini.
Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya. Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara
ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan
menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.
Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda: Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala
hanya satu akan tinggal
bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum
kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya (hadis Riwayat Muslim)
Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu. Mereka juga
akan berkahwin, beranak
pinak dan mungkin melupakan
kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin
menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat
kita dan amal jariah yang tiga:
Dari Abu Hurairah
bahwa Nabi (saw) bersabda: Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu
yang diajarkan dan disebarkannya, anak
saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran
yang diwariskannya, masjid yang
didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya
atau sedekah yang dikeluarkannya
selagi ia sihat ketika hidupnya, semua
itu terus menghubunginya setelah dia meninggal. (hadis riwayat Ibnu Majah)
Sementara kesempatan Allah membolehkan
kita menyambung usia kita di bulan Ramadhan ini, marilah kita melihat diri sendiri
dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena
satu pertiga akhir Ramadhan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah,
banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan didiklah anak-anak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita apabila amalan lain kita
telah terputus. Semoga dengan itu,
Allah memberi rahmah, keampunan dan seterusnya membeaskan
kita dari azab api neraka
No comments:
Post a Comment