Di antara sunat
puasa yang sering dipandang
ringan oleh ramai umat Islam kini
ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):
“ Makan
sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:
“ Bersahur
itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya
meneguk air. Kerana Allah dan para
Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”. (hadis Riwayat Ahmad)
Dan adalah disunatkan kita melewatkan
sahur tersebut, seperti
dinyatakan oleh ‘Amar bin Maimun mengenai
para sahabat Nabi (saw):
“Para sahabat Nabi Muhammad (saw)
itu adalah orang-orang yang paling bersegera berbukanya dan paling lambat
bersahurnya” (Riwayat Baihaqi)
Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar
dari sahur dan melewatkannya. Pertama, ia memberi kekuatan
kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada
kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk
kita melayakkan diri menerima ucapan selawat
daripada Pencipta dan Penguasa Alam
dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya
tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.
Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan
kita berjaga di penghujung malam
menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a.
Ambillah peluang bangunnya kita di waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah
kepada-Nya Yang Maha Mendengar.
Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan
agar kita dapat solat subuh
di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai.
Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:
“ Bahwa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di
awal waktu subuh), kemudian
pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang.
Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap
tersebut sehingga beliau
wafat, dan tidak pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.” (riwayat
Abu Daud dan Baihaqi)
Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):
“Dua rakaat sunat
subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)
Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya
sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak
diperlukan jika seseorang merasakan
dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi,
melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang mustajab, dapat solat subuh di awal waktu
dan dapat pula bersolat sunat yang begitu besar ganjarannya.
No comments:
Post a Comment